Want your
own Fotopage?








 


By: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Monday, 7-Jan-2013 17:19 Email | Share | Bookmark
Rujuk SPAD sebelum naik tambang

Rujuk SPAD sebelum naik tambang

KUALA LUMPUR 7 Jan. — Pengusaha bas sekolah di seluruh negara diminta berunding dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terlebih dahulu sekiranya berhasrat untuk menaikkan harga tambang bas bagi sesi persekolahan tahun ini.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pengusaha bas harus mengikut peraturan yang ditetapkan oleh SPAD dan tidak menaikkan harga tambang sewenang-wenangnya tanpa mendapat persetujuan SPAD.

"Sekiranya mereka (pengusaha bas) masih berdegil dan menaikkan tambang tanpa persetujuan SPAD, maka ibu bapa wajib melaporkan perkara ini dengan segera kepada SPAD atau pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil terhadap mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media baru-baru ini, mengenai dakwaan ibu bapa pelajar sekolah bahawa ada segelintir pengusaha bas sekolah khususnya di Lembah Klang menaikkan harga tambang bas tahun ini.

Menurut laporan itu, mereka (ibu bapa pelajar) berkata, walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi kerajaan atau SPAD mengenai kenaikan tambang bas, pengusaha bas secara senyap menaikkan tambang bas antara RM5 hingga RM10.

Tambang bas sekolah sebelum kenaikan itu adalah di antara RM30 hingga RM50, bergantung kepada kawasan dan jarak perjalanan pelajar dari kediaman ke sekolah masing-masing tetapi ibu bapa sekarang terpaksa membayar tambang antara RM40 hingga RM55 tanpa mendapat sebarang penjelasan daripada pengusaha bas terbabit.

Mohamad Ali berkata, pengusaha bas tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan memberi alasan bahawa harga alat ganti dan kos operasi bas meningkat dan menjadikan ibu bapa sebagai sasaran untuk mengaut keuntungan.

Sehubungan itu, beliau meminta SPAD memantau isu kenaikan tambang bas itu dan melakukan pemeriksaan mengejut terhadap pengusaha bas dari semasa ke semasa di seluruh negara sama ada mereka mempunyai lesen kenderaan perkhidmatan awam bas sekolah yang sah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah berkata, sehingga kini, tiada pengumuman dibuat oleh SPAD atau kerajaan mengenai kenaikan tambang bas sekolah itu.

"Ibu bapa yang menjadi mangsa penipuan ini perlu menyimpan resit sebagai bukti kukuh untuk mendakwa pengusaha bas terbabit, sekiranya benar perkara ini berlaku," katanya.

Muhammad Shaani berkata, SPAD perlu mencontohi negara jiran dalam pelaksanaan tambang pengangkutan awam termasuk bas sekolah dan memastikan kadar kenaikan tambang itu disemak sama ada setiap enam bulan atau setahun sekali.

Apa yang menjadi masalah sekarang, katanya, SPAD tidak melakukan pemantauan terhadap bas sekolah dan Fomca bimbang kemungkinan wujud operasi bas sekolah secara haram yang tidak mempunyai lesen kenderaan perkhidmatan awam bas sekolah sah dan pemandunya pula tiada Lesen Kenderaan Perdagangan. - bernama

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Md. Saad Mohamad berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan ahlinya untuk menaikkan tambang bas.

Justeru, Md. Saad menggesa kira-kira 14,000 ahli persatuan itu yang ada diseluruh negara agar tidak bertindak melanggar peraturan yang ditetapkan SPAD dan meminta ibu bapa yang menjadi mangsa kenaikan tambang bas supaya melaporkan kepada SPAD dengan segera. — BERNAMA


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2008.

ns4008229.ip-198-27-68.net