Want your
own Fotopage?







 


By: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Saturday, 8-Dec-2012 19:36 Email | Share | Bookmark
Pemandu kereta sapu masuk perangkap SPAD.

 
 
 
 
Pemandu kereta sapu masuk perangkap SPAD.



Jika ada sesiapa yang mahu pasang niat untuk menggunakan kereta persendirian sebagai “kereta sapu” fikirlah dalam-dalam. Ini kerana di bawah Akta Pengangkutan Darat, mereka yang menjalankan kegiatan berkenaan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10 ribu atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bukan itu sahaja! Sekiranya kereta yang digunakan untuk kegiatan itu adalah kepunyaan syarikat, maka syarikat berkenaan akan didenda RM50 ribu serta kenderaan disita dan dilucut hak.

Itulah nasib yang bakal dihadapi seorang lelaki yang tertangkap ketika cuba menjalankan kegiatan kereta sapu di Terminal Lapangan TerbangTambang Murah (LCCT) Sepang, malam kelmarin.

Cubaan kali pertama lelaki berkenaan “kantoi” apabila dia “masuk perangkap” pegawai-pegawai penguatkuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) yang menyamar sebagai penumpang. Lebih malang lagi, apabila kereta Camry berusia lima bulan yang digunakannya itu adalah kepunyaan syarikat.

Lelaki dalam lingkungan usia 40an itu bekerja sebagai pemandu sebuah syarikat swasta dan ditugaskan menghantar seorang pegawai ke LCCT. Setelah melaksanakan tugasnya dia cuba mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan “kereta sapu” kepada seorang penumpang yang ingin ke Terminal LBS.

Tanpa disedarinya penumpang itu rupa-rupanya adalah seorang daripada 34 pegawai penguatkuasa SPAD yang menjalankan operasi penyamaran antara jam 4 petang hingga 12 tengah malam.

“Ini kali pertama saya mencuba. Saya ingat nak cari duit belanja isteri dan anak. Saya tak terfikir ini satu kesalahan. Saya betul-betul menyesal,” kata lelaki itu apabila ditemui wartawan yang mengikuti operasi berkenaan.

Ketua Bahagian Penguatkuasan SPAD, Dato Paduka Che Hasni Che Ahmad yang mengetuai operasi berkenaan, berkata, di bawah seksyen 16 Akta Pengangkutan Darat, sesiapa yang menjalankan kegiatan “kereta sapu” jika sabit kesalahan boleh didenda RM10 ribu atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, sekiranya kereta yang digunakan kepunyaan syarikat, denda RM50 ribu dikenakan, selain kenderaan disita, dilucut hak dan dilelong.

“Bagi kegiatan “ulat teksi” (teksi haram), mereka boleh dituduh di bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Darat) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM50 ribu atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Che Hasni berkata operasi berkenaan dijalankan ekoran laporan dan aduan yang diterima daripada orang ramai mengenai kegiatan kereta sapu dan ulat teksi yang semakin berleluasa di LCCT.

“Operasi kami bermula 4 petang. Seramai 34 orang penguatkuasa terbabit dalam operasi ini. Mereka menyamar sebagai pelancong di balai ketibaan. Tetapi setelah berjaya menangkap tiga pemandu kereta sapu dan seorang ulat teksi, penyamaran pegawai-pegawai SPAD sudah dapat dihidu dan ramai yang melarikan diri.

“Kegiatan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi menjejaskan imej negara kerana lapanganterbang adalah pintu masuk utama pelancong ke negara kita.

“Saya nak ingatkan sesiapa yang menumpang kereta sapu tidak dilindungi insurans. Janganlah naik kereta sapu. Kalau kemalangan nanti mati katak,” katanya.

Menurut Che Hasni, setakat ini kira-kira 20 operasi sudah dilakukan di LCCT dan sepanjang tahun ini SPAD telah melakukan 6,000 tangkapan di seluruh negara bagi kesalahan yang membabitkan kereta sapu, ulat teksi serta bas dan lori haram. – 8/12/12


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2008.

ns4008229.ip-198-27-68.net